Wednesday, June 25, 2008

Terima Kasih kepada JPA Daerah Besut


Tuan Mej. Saabar turut turun padang sendiri untuk melihat program ini dijalankan.

Pihak SK Alor Lintah merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Tuan Mej (PA) Saabar bin Haji Mat Amid dan pegawai-pegawai Jabatan Pertahanan Awam Daerah Besut di atas sokongan dan kerjasama yang diberikan untuk menjayakan program ini. Program seumpama ini adalah kali pertama diadakan di negeri ini. PKBP SK Alor Lintah telah memahat sejarah dalam memberikan suatu yang terbaik untuk pelajar istimewa mereka.

Ini disahkan oleh Tuan Mejar Saabar yang turut sama berada di lokasi untuk melihat program ini dijalankan, menyatakan kerjasama JPA dengan Kelas PKBP ini merupakan kali pertama diadakan di negeri Terengganu ini. Beliau berbangga melihat kerjasama ini telah berjaya mencapai objektif untuk memberikan suasana pembelajaran yang menyeronokkan kepada pelajar terbabit.

Selain diberi peluang untuk menikmati keindahan alam semula jadi di tepi laut, pelajar telah diberi tunjuk ajar cara berenang dan mengampungkan diri ketika berada di dalam air. Dengan sikap peramah dan mesra pegawai JPA juga, pelajar kelihatan seronok untuk melakarkan kreativiti masing-masing untuk membina gubahan objek daripada pasir pantai. Walaupun sesi program sudah tamat, pelajar seakan tidak mahu berhenti dan ada yang merayu supaya diadakan lagi.

Melihat ketabahan mereka ketika aktiviti dijalankan membuatkan tenaga pengurusan kelas ini bercadang untuk menjadikan program ini sebagai aktiviti bulanan wajib bagi kelas ini. Sebagai ganjaran kesungguhan pelajar membina "self confident" dalam diri masing-masing, pelajar telah dibawa menaiki bot JPA untuk membuat beberapa pusingan berhampiran pantai. Pelajar PKBP ini nyata begitu teruja dengan pengalaman yang mereka terokai dan keyakinan diri pelajar jelas terserlah selepas program ini dijalankan.

Tiada yang lebih membanggakan selain dapat memberikan anak-anak istimewa ini kegembiraan dan keseronokan untuk terus meneroka pengalaman pembelajaran berikutnya.

No comments: