Tuesday, December 30, 2008

Kelas PKBP Seri Mutiara

Bermulanya sesi persekolahan bagi tahun 2009, Kelas PKBP Seri Mutiara kian berkembang apabila memulakan sesi pembelajaran di dua kelas yang bakal membuatkan kapisiti 20 pelajarnya merasai lebih selesa.

Secara lisan dimaklumkan bahawa seorang lagi guru DG 41 kelulusan pendidikan khas akan ditempatkan di sini. Berita gembira ini dinantikan oleh warga PKBP kerana kehadiran guru yang sedemikian akan merancakkan lagi aktiviti dan program pembelajaran yang akan dilaksanakan pada tahun 2009.

Harapan kami agar PKBP SKAL akan menjadi model terbaik untuk dicontohi dalam aspek pembangunan kognitif pelajar PKBP. Sehubungan itu; kami di sini sentiasa tersenyum untuk mengembelingkan kerjasama sesama rakan sejawat di kelas ini dalam memenuhi impian tersebut agar menjadi kenyataan sebagaimana seru "Tiada Halangan Melainkan Peluang".

Kami di sini hanya mencari yang terbaik dan jangan halang kami untuk mencipta kejayaan untuk murid-murid kami.

Monday, November 10, 2008

Majlis Anugerah Kecemerlangan SKAL

Majlis Anugerah Kecemerlangan SKAL telah diadakan di Dewan Dato' Kamaruddin pada 10hb November 2008. Seramai empat orang murid dari kelas PKBP iaitu Nursyabila, Nurshahirah, Wan Mohd Fadli dan Mohd Nizam telah terpilih untuk graduasi pada tahun ini.

Friday, November 7, 2008

Sayonara

Majlis Perpisahan dengan Miss Eri Yamamoto, Guru Pendidikan Khas dari Jepun telah diadakan pada 6hb November 2008 di KFC, Jerteh. Setelah berkhidmat di kelas ini selama 3 minggu. Miss Eri Yamamoto memakai sejenis pakaian tradisional Jepun yang dipanggil "Yukata" di majlis tersebut. Sepanjang berada di sini, beliau memberikan beberapa idea untuk dipraktikkan di kelas ini. Beliau juga turut berkongsi pengalaman baru dengan guru-guru pendidikan khas di kelas ini.








Walaupun jangkamasa yang singkat Miss Eri berada di sini, namun murid di kelas ini mudah mesra dengannya. Sehingga kini masih ada di kalangan murid ini masih bertanyakan ke mana cikgu Eri?



Hidroterapi SKAL mula dikenali

Kelas Pendidikan Khas Bermasalah Pelajaran yang ditubuhkan pada Januari 2007 di Sekolah Kebangsaan Alor Lintah mula melangkah ke hadapan dengan memperkenalkan beberapa aktiviti dan program berinovasi untuk murid-muridnya setiap bulan.

Program dan aktiviti yang dipelbagaikan merupakan alternatif kepada corak pembelajaran yang lazim. Semenjak guru-guru di kelas ini memperkenalkan aktiviti hidroterapi pada setiap bulan kepada 20 orang muridnya yang terdiri dalam katogeri Sindrom Down, Austisme, Hyperactive dan Slow Learner. Program yang julung-julung kali dilaksanakan di negeri ini mula menarik perhatian banyak pihak setelah ianya memberi kesan kepada perkembangan murid-murid di dalam bilik darjah.

Pada awal program ini diperkenalkan ianya dijalankan di kolam renang, kemudian selepas murid mengalami proses penyesuaian, ianya beralih ke pantai. Didapati aktiviti ini lebih baik dilakukan di laut/pantai. Selain faktor suasana alam sekeliling yang tenang boleh menjadi terapi minda, kemasinan air laut berupaya membantu murid meningkatkan daya imunisasi.

Pihak sekolah sentiasa bekerjasama dengan pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Besut sebagai langkah keselamatan murid yang menjalani terapi ini.

Miss Eri Yamamoto dan En. Che Alias sedang mengendalikan sesi terapi air
bagi murid Sindrom Down dan Autisme.


”Hidroterapi dilihat sesuai untuk perkembangan fizikal kerana kombinasi pergerakan motor kasar dan halus serta mental murid dapat dirangsang secara serentak. Pergerakan dalam air didapati lebih mudah dan bebas serta tidak dibebani oleh keperluan alatan sokongan selain daya apungan air sahaja.

Rangsangan air yang secara semulajadi dapat membantu murid tenang walaupun pada permulaannya sesetengah murid akan berasa takut untuk masuk ke dalam air. Perkara ini dapat diatasi dengan membawa murid ke kawasan cetek sebelum berpindah ke kawasan yang lebih dalam.

Secara tidak langsung guru-guru telah melatih membina keyakinan diri murid-murid "water confidence".

Melalui terapi seumpama ini, ianya dapat memantapkan perkembangan fizikal dengan aktiviti-aktivi seperti regangan seterusnya melembutkan sendi dan meningkatkan daya ketahanan jantung dan otot-otot rangka.

Hasilnya murid-murid akan dapat membina konsep diri yang positif melalui aktiviti hidroterapi ini. Melalui hidroterapi juga, ianya dapat memantapkan perkembangan fizikal melalui pelbagai aktiviti seperti regangan, melembutkan sendi-sendi, meningkatkan daya ketahanan otot-otot dan jantung”



Seorang Guru Pendidikan Khas dari Jepun; Miss Eri Yamamoto turut serta dalam program hidroterapi yang dijalankan oleh sekolah ini baru-baru ini di Pantai Bukit Keluang, Besut. Beliau turut mempelajari bagaimana program ini dijalan di sini dan berminat untuk mengetahui lebih lanjut sesi ”Membungkus Badan Dengan Pasir Pantai” di mana beberapa pelajar yang bermasalah dalam pergerakan akan dibaluti dengan pasir basah untuk satu jangkamasa yang ditetapkan.
Aktiviti ini mula diperkenalkan dalam sesi kali ke 4 ini oleh pihak SKAL yang diadakan pada 29 Oktober yang lepas, bertempat di Pantai Bukit Keluang untuk mengkaji keberkesanannya ke atas murid yang mengalami masalah fizikal. Pendekatan ini cuba dilakukan berdasar kepada kaedah secara tradisional yang menggunakan pasir pantai untuk menyembuh berbagai penyakit seperti fizikal menjadi lembik dan masalah saraf kerana "stroke" selain menyembuh penyakit kulit.
Aktiviti ini juga dilihat mampu meningkatkan perkembangan motor halus pelajar yang akan memberi kesan yang baik kepada pembelajaran di dalam kelas selepas itu. Murid-murid diminta menggunakan pasir pantai untuk membuat binaan atau objek dengan menggunakan tangan dan jari mereka tanpa menggunakan peralatan lain. Manipulasi tangan dan jari ini selain meningkatkan motor halus mereka, juga dijangka akan dapat merangsang dan mengasuh murid-murid membina kreativiti dan menghargai nilai estetika yang terdapat disekeliling mereka.
 
En. Che Alias membuat demonstrasi kaedah TERAPI PASIR MASIN 
yang baru diperkenalkan dalam sesi ini kepada Miss Eri Yamamoto
Kaedah baru yang diperkenalkan dalam sesi hidroterapi kali ini khusus
kepada pelajar yang dikenalpasti bermasalah fizikal.




Antara kepentingan hidroterapi ini ialah:
i. Menghilangkan tekanan
ii. Keupayaan berkomunikasi
iii. Simulasi sistem otak
iv. Bina keyakinan dir
iv. Kreativiti
vi. Kawalan diri
vii. Latihan ‘Social skill’
viii. Merangsang pertuturani
x. Melatih sikap bekerjasama
x. Meningkatkan kesabaran
xi. Pengamatan
xii. Latihan koordinasi badan dan anggota badan yang lain
xiii. Latihan daya kepimpinan
xiv. Manipulasi tangan dan jari-jemari
xv. Daya konsentrasi
xvi. Pembentukan ‘body image'
xvii. Peningkatan ‘self-esteem’

Melatih murid berkarya dan berkreativiti dengan menggunakan elemen pasir
selain meningkatkan daya motor halus mereka dalam suasana
pembelajaran yang menyeronokkan.

Monday, October 20, 2008

Bersama TUDM

Setelah tertangguh beberapa bulan kerana beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, akhirnya pada 16 Oktober 2008, murid kelas ini berjaya menrealisasikan impian untuk melawat ke Pangkalan TUDM Bukit Puteri.


Penyelaras; Hajah Najmiah menuruni Helikopter Nuri setelah rombongan dibawa melawat menaiki pesawat tersebut. Pengalaman yang paling mengujakan bagi anak-anak di kelas ini.
Murid-murid kelihatan suspen semasa berada dalam pesawat Nuri sebelum berlepas. Takut, teruja, gembira, seronok. Semuanya terangkum dalam satu situasi.





Murid di bawa menaiki kenderaan penyelamat kebakaran yang tercanggih di pangkalan ini dan melihat sendiri demontrasi yang dipertunjukkan kepada mereka. Teruja dan amat gembira sekali mereka melalui pengalaman terbaru ini. Srjn Kamaruzzaman tidak jemu melayani karenah pelajar yang mula berani bertanya pelbagai soalan kepadanya.


Rombongan bersama staff TUDM dan pegawai pengiring lawatan kami sempat bergambar bersama NURI.

JOCV di Kelas Mutiara

Sukarelawan dari negara matahari terbit (JOCV) Miss Eri Yamamoto melaporkan diri untuk berkhidmat di kelas Mutiara mulai 15 Oktober hingga 8 November 2008. Beliau seorang guru pendidikan khas yang berkepakaran dalam bidang Autisme.

Wednesday, October 8, 2008

Majlis Aidil Fitri PKBP


Staff PKBP SK Alor Lintah sempat bergambar kenangan


Tuan Haji Zakaria Mohamad dari PPD Besut menyampaikan buah tangan kepada pelajar.


Antara tetamu sempat bergambar dengan pelajar


Kakitangan Tan Chong Motor Sdn. Bhd Cawangan Jerteh antara tetamu yang hadir.


Pelajar-pelajar yang mula mesra dengan pegawai dan Staff JPAM minta bergambar bersama.


Guru Besar; Cikgu Azmi Yaakob sedang melayan tetamu dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia

Guru Besar; En Azmi bin Yaakob menyambut ketibaan Tuan Haji Zakaria Mohamad, Penyelia Kanan Sekolah Rendah, Pejabat Pelajaran Daerah Besut.


Pen. Kanan Kokurikulum; Y.M. Megat sedang melayan ibubapa dan murid PKBP.



Warga SKAL turut memeriahkan majlis sambutan Aidil Fitri PKBP 2008







Sambutan Aidil Fitri secara rumah terbuka PKBP sekolah ini merupakan kali pertama diadakan semenjak penubuhannya. Bertempat di kelas PKBP suasana meriah dapat dirasakan apabila ramai tetamu yang hadir. Antaranya Penyelia Kanan Sekolah (Rendah) PPD Besut, Kakitangan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (Besut), Kakitangan Tan Chong Motor Cawangan Jerteh, Dr. Lokman dan kakitangan, Ibubapa, dan warga SKAL. Staff PKBP tidak menang tangan melayan tetamu-tetamu yang hadir.
Selain beraneka juadah dihidangkan, tayangan slaid power point berkaitan dengan sepanjang aktiviti, program kelas yang telah dilaksana, ditayangkan kepada tetamu.
Penyelia Kanan Sekolah (Rendah) Pejabat Pelajaran Daerah Besut; Tuan Haji Zakaria bin Mohamad sempat menyampaikan cenderamata kepada semua murid-murid kelas ini sebagai tanda ingatan.

Sunday, October 5, 2008

Selamat Aidil Fitri

Pengumuman:
Dijemput memeriahkan Majlis Aidil Fitri PKBP SKAL
Tarikh: 8hb Oktober 2008
Hari : Rabu
Masa : 10 pagi
Tempat : Bilik PKBP Seri Mutiara
Antara tetamu yang dijangka hadir:
YB ADUN, JPNT, PPDB, JPAM,
Warga SKAL, Penderma, Ibubapa Pelajar PKBP, dan Anda..

Monday, September 15, 2008

Perihatin seorang usahawan

Setinggi-tinggi terima kasih diucapkan kepada Tuan Haji Abdullah bin Siok (PETRONAS KG RAJA) dan Seluruh Keluarganya yang telah sudi membawa 10 orang murid PKBP dan Anak Yatim dari SK Alor Lintah bersama murid-murid lain dari 6 buah sekolah lain sekitar daerah ini untuk membeli belah pakaian raya di Pusat Membeli belah Billion, Kota Mutiara, Kota Bharu pada hari ini 15/09/2008. Tuan Haji Abdullah menyewa khas sebuah bas untuk membawa semua murid-murid tersebut ke Kota Bharu semata-mata untuk tujuan mulia ini.

Cara dan kaedah yang dibuat oleh Tuan Haji Abdullah bin Siok dan Keluarganya ini merupakan kelainan yang pernah kami terima.

Anak-anak ini begitu amat gembira sekali kerana barang kali tidak pernah selama ini di bawa ke gedung beli belah di bandar, apatah lagi dibawa untuk membeli pakaian raya. Gelagat mereka menampakkan betapa hari ini adalah hari yang penuh makna kepada mereka.
Tahun ini rezeki mereka murah apabila masyarakat mula memberi perhatian nasib dan keperluan mereka.

Pujian harus diberikan kepada Tuan Haji Abdullah bin Siok dan Keluarga kerana merintis jalan yang mulia ini yang seharusnya turut dijejaki oleh usahawan lain di daerah ini. Bersama-sama membuat kebajikan dan amal terutama di bulan Ramadhan Al Mubaraq. Mudah-mudahan rezeki mereka kian bertambah. Perniagaan mereka makin maju. Mana tahu doa anak-anak istimewa ini mendapat berkat dan diperkenankan Tuhan.


Ada juga beberapa usahawan dan orang perseorangan yang turut membantu dengan pemberian derma untuk kelas ini yang akan kami senaraikan di ruangan ini sedikit masa lagi.

Dikesempatan kumpulan SKAL yang sampai lebih awal kerana kami menaiki kereta memandangkan bas yang disewa khas sudah penuh, kami sempat membawa murid-murid membuat lawatan singkat ke Hotel Renaissance Kota Bahru yang terletak bersebelahan dengan pusat membeli belah yang dituju.

Rasionalnya kami membawa murid tersebut meninjau ke hotel itu adalah sebagai memberi inspirasi dan motivasi kepada mereka untuk mereka melihat sendiri suasana penginapan yang hebat jikalau menjadi seorang yang berjaya. Untuk menginap di situ, mereka perlu menjadi seorang yang berjaya dalam hidup mereka.

Motivasi dan inspirasi bukan hanya melalui lisan sahaja. Motivasi Visual lebih memberi kesan mendalam kerana ianya akan membangkitkan iltizam dalam diri. Inspirasi itu akan meransang cita-cita dalam diri. seterusnya akan membuka ruang untuk mereka berusaha menrealisasikan iltizam yang sudah ada dalam diri mereka dalam satu tempoh jangkamasa nanti. Sebagaimana orang yang berjaya hari ini pernah laluinya dahulu.


Suatu hari nanti mungkin ada di antara mereka akan kembali semula ke sini untuk mengingati nostalgia hari ini. Ketika itu mereka sudahpun menjadi seorang yang berjaya.

Sunday, August 31, 2008

Kolaborasi Hidroterapi 3

Lanjutan daripada tersiarnya program hidroterapi yang dirintis oleh SK Alor Lintah tersiar di akhbar Sinar Harian, terdapat banyak permintaan daripada sekolah-sekolah lain untuk menyertainya.

Sebagai memenuhi permintaan daripada sekolah lain, PKBP SKAL buat pertama kalinya mula menganjur program ini bersama dengan 6 buah sekolah lain iaitu; SK Alor Peroi, SK Alor Keladi, SK Gong Bayor, SK Pusat Jerteh, SK Padang Luas dan SK Kuala Besut. Pihak kami tidak berupaya untuk menerima lebih ramai peserta kerana kekurangan peralatan utama iaitu "Life Jacket".


Seramai 30 orang murid PKBP bersama 18 orang guru dan pembantu pengurusan murid (PPM) dari 7 buah sekolah telah berhimpun di Pantai Bukit Keluang, Besut dengan kerjasana daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang menghantar 5 orang pegawai untuk memulakan lembaran sejarah baru program PKBP di Daerah Besut.
Jumlah fasilitator kesemuanya berjumlah 25 orang yang terdiri daripada kakitangan PKBP sekolah yang terlibat, JPAM dan sukarelawan.
Sebahagian murid, guru, PPM, sukarelawan dan anggota JPAM yang sempat bergambar bersama-sama di lokasi program.
Program kali ini meliputi 3 sesi:
  1. Latihan Terapi di air
  2. Latihan menjulur
  3. Latihan membina kreativiti menggunakan pasir tanpa alatan

Kebanyakan murid dari SK Alor Lintah yang bersama dalam program ini berpakaian serba hitam dan kelabu sudah tidak sabar-sabar lagi untuk memulakan aktiviti pada pagi ini dengan cuaca redup dan air laut yang tenang. Seperti kelaziman, sebelum turun ke laut, sesi memanaskan badan perlu dilakukan terlebih dahulu untuk merenggangkan otot-otot dan untuk mengelakkan kerenjangan.
Sebaik sahaja sesi memanaskan badan selesai, semua murid dan guru mengikut sekolah masing-masing diberi penerangan berkaitan cara dan bagaimana memulakan sesi peringkat 1. Penerangan dilakukan oleh Cikgu En. Che Alias Che Yusoff selaku Koordinator Program ini.
Demonstrasi dilakukan untuk memberikan kefahaman dan gambaran kepada guru, PPM dan juga murid dari sekolah lain yang baru pertama kali menyertai program ini. Demonstrasi dibantu oleh Cik Daliya; Sukarelawati SK Alor Lintah yang kali ke 3 menyertai program ini bersama SKAL.
Selesai penerangan, semua fasilitator akan menemani murid untuk memulakan sesi di air. Bagi murid yang baru pertama kali bertemu air laut akan mengalami sedikit gangguan emosi dan keyakinan diri. Situasi ini adalah biasa dan kemungkinan gangguan seperti ini disebabkan oleh masalah fobia pengalaman lalu. Untuk menenangkan mereka peranan fasilitator amat penting supaya murid berkenaan tidak mengalami stress yang berlebihan.
Cikgu Che Alias sedang mententeramkan salah seorang pelajar yang baru menyertai sesi ini yang pada mulanya stress dan gementar ketika di bawa ke air.
Suasana di air kelihatan ceria sekali apabila semua fasilitator mengambil peranan untuk menjayakan sesi ini. Walaupun kebanyakkan mereka pertama kali melakukan tugasan ini, namun komitmen yang ditunjukkan adalah membanggakan apabila murid-murid memberi responsif yang positif.
Pengalaman begini sememangnya mengujakan. Bukan mudah memperolehi pengalaman begini tanpa usaha yang berinovasi untuk menterjemahkan kepada perlaksanaan yang realiti. Sokongan daripada semua pihak khasnya daripada Unit Pendidikan Khas Pejabat Pelajaran Daerah Besut haruslah dipuji. Kerjasama dan iltizam yang ditunjukkan pasti akan membitarakan program-program khas yang akan membuka minda masyarakat terhadap kepentingan PKBP dalam arus pendidikan bertaraf global.
Cetusan program seperti ini yang tidak diberi pertimbangan untuk dilaksanakan selama ini telah membuka ruang kepada pilihan corak pembelajaran bentuk baru bagi kelas yang kurang diberi perhatian oleh warga pendidikan dan masyarakat sebelum ini. Hanya Mutakhir ini kelas PKBP mula mendapat tempat dan menonjolkan warga mereka sebagai bukan lagi golongan kelas ketiga dalam komuniti di sekolah.
Penyelia PKBP SKAL ; Pn. Hajah Najmiah Ramli turut teringin turun ke laut bersama pelajar.


LATIHAN MEMBINA KREATIVITI TANPA ALATAN



Dalam sesi latihan membina kreativiti menggunakan pasir tanpa alatan, pelajar akan berada dalam satu pasukan yang terdiri daripada 4 orang yang bukan dari rakan sekolah yang sama. Mereka diberi kebebasan untuk membina objek kegemaran mereka dengan menggunakan pasir. Untuk menbentuknya pelajar terpaksa menggunakan tangan.
Matlamatnya supaya pelajar meningkatkan motor halus masing-masing untuk mengembeling idea yang dijana secara spontan yang mereka ilhamkan sendiri tanpa bantuan daripada guru. Apa yang ingin dilihat dalam sesi latihan ini ialah melatih pelajar membina kreativiti dan sikap menghormati dan menerima pandangan rakan dalam kumpulan. Asas yang mahu dibina ialah keyakinan dalam diri pelajar itu sendiri.
Proses interaksi di kalangan pelajar bermula tanpa diminta. Gemblengan aspek kerjasama akan dapat dibentuk secara semula jadi tanpa perlu mereka menerima arahan daripada guru.
Guru atau fasilitator hanya memerhati dan sebagai tempat murid merujuk jika timbul kekeliruan.
Siapa sangka kreativiti seumpama ini dapat dihasilkan.

LATIHAN MENJULUR
Dalam latihan menjulur, apa yang penting adalah semangat untuk menuju ke matlamat. Ketabahan dan kesungguhan dapat dipupuk dari latihan seperti ini. Proses menjulur juga adalah satu daripada langkah dalam perkembangan kognitif kanak-kanak. Melalui proses ini dapat melengkapkan perkembangan kognitif pelajar.
Hasilnya tidak kelihatan secara spontan tetapi akan diterjemahkan dalam fenomena kehidupan yang abstrak. Dari aspek pelajar, kesannya dapat dilihat di bilik darjah apabila dilakukan aktiviti ini secara berterusan. Mereka akan mudah menerima arahan dan mampu menyudahkan tugasan yang diberikan berdasarkan abiliti dan keupayaan kognitif mereka.
Murid yang mengalami kesukaran melakukan aktiviti ini akan sentiasa dibantu oleh petugas




Selepas melepasi ketiga-tiga sesi aktiviti yang dilangsungkan, terserlah kegembiraan di wajah anak-anak istimewa ini tanpa menunjukkan keletihan. Semangat dan keceriaan yang ditunjukkan mereka merupakan pendorong kepada semua guru untuk terus beriltizam membitarakan lagi program seumpama ini agar lebih kerap dilaksanakan supaya impaknya dapat dimaksimakan. Keseronokan dalam pembelajaran diterjermahkan pada hari ini.
Mereka mendekati alam sekeliling yang indah dan nyaman di sini. Setidaknya rakan-rakan mereka di tempat lain pasti cemburu kerana tidak memiliki keindahan alam sekeliling seperti di sini. Ada bukit, laut, pantai, dan pulau. Kombinasi terapi minda yang cukup efisyen jika dimanipulasikan secara berinovasi.
Terima kasih kepada JPAM, PPD Besut, YPM, Guru, PPM, Sukarelawan dan semua pihak yang terlibat menjayakan program ini.