Wednesday, July 30, 2008

Hidroterapi 2

Tuan Haji Ahmad Nadzir (Penyelia Unit Khas PPD BESUT) turut serta untuk bersama-sama meraikan anak-anak "Seri Mutiara" dari SK Alor Lintah, Besut dalam program hidroterapi di pantai kali kedua ini.
Puan Hajah Khuzaimah Marzuki (PK 1) SKAL sentiasa mengambil berat tentang pelajar di Kelas Seri Mutiara (SM). Beliau sentiasa menghantar para pelajar ini hingga ke bas sebelum bertolak ke destinasi aktiviti. Kali ini kami bergerak ke Pantai Bukit Keluang.

Semenjak semalam lagi anak-anak ini sibuk bertanya itu dan ini mengenai program yang akan mereka ikuti ini. Refleksi minat yang ditunjukkan mereka. Refleksi ini menggambarkan motivasi kami telah berjaya mencapai objektif.

Program-program luaran kami di sini adalah alat motivasi untuk mereka ke sekolah. Kami mahu menjadikan sekolah tempat yang paling mereka suka dan seronok. Kehadiran kelas ini sentiasa memuaskan kerana murid di kelas ini jarang ponteng kelas tanpa sebab seperti sakit atau masalah transportasi ibubapa dan penjaga.


Sementara menunggu isyarat lampu hijau membolehkan program dimulakan, diabadikan memori kali ini di depan menara JPA3 di Bukit Keluang yang akan menjadi lokasi tetap anak-anak ini setiap bulan selagi ianya diberi keizinan.

Bilangan anak-anak ini kian bertambah. Bilangan "life jacket" tetap statik. Itupun ihsan daripada JPA3. Tengoklah sendiri, ada yang badan hampir sama besar dengan "life jacket" yang dipakai. Hinggakan tak dapat nak melutut.

Apa nak buat. Kami gunakan apa yang ada. Pihak kami mengalu-alaukan ada pihak yang mahu menaja pakaian renang mereka. Pakaian yang sesuai untuk pergerakan di air.


Sesi warming up yang sungguh nyaman di tepi pantai bersebelahan bukit yang menghadap ke pulau. Para pelajar begitu seronok menuruti setiap formasi yang perlu mereka buat. Proses P&P yang berlaku secara informal ini sebenarnya cukup memberi impak yang baik dalam pengukuhan apa yang diajari secara konkrit. Suasana fenomena yang kondusif di sini telah memberi semacam ransangan untuk mereka menerokai pembelajaran secara kendiri.

Fisio yang sedang dilakukan oleh Miss Daliya.
Perkembangan pelajar ini antaranya telah memberikan kami kepuasan dan kegembiraan. Koordinasi krew kelas yang sentiasa perihatin dan tidak jemu untuk mencuba akhirnya, pelajar ini yang suatu ketika adalah pelajar pasif dan tidak banyak perkataan yang boleh disebut. Kini mula bertutur walaupun menggunakan dua suku kata secara pelat.
Sesi Crawling

Walaupun kelihatan mudah, bukan senang untuk sampai ke garisan penamat. Latihan begini akan membentuk mereka tabah menuju ke matlamat.


Latihan menjulur.

Aktiviti ini mula diperkenalkan dalam sesi ini dan akan menjadi aktiviti tetap dalam program hidroterapi akan datang. Aktiviti ini diharapkan dapat menguatkan motor kasar dan melatih pelajar fokus. Ianya juga akan membantu melatih koordinasi psikomotor dengan otak secara seimbang.

Latihan sebegini amat penting dan diperlukan bagi pelajar di sini. Kami bersedia untuk memastikan aktiviti ini dibuat dengan postur yang betul.

Ada kanak-kanak hari ini yang mendapat efeksi akibat tidak melakukan aktiviti ini semasa mereka bayi. Kerana ibubapa mereka teruja mahu melihat mereka cepat berdiri, bertatih dan berjalan.

Tanpa disedari ibubapa itu telah melangkau satu langkah perkembangan otak anak mereka yang akan memberi efeksi puluhan tahun akan datang.


Sesi santai sejenak bersama Cikgu Alias, Cikgu Fatah dan pegawai JPA3.


Dapat menaiki bot merupakan saat yang paling dinantikan dan disukai oleh pelajar. Walaupun ianya agak santai kepada mereka yang terbiasa dengan fenomena dan pengalaman ini, namun tidak kepada sebahagian besar pelajar di sini.

Peluang sebegini membuatkan mereka begitu teruja. Ada di antara mereka kelihatan gayat namun konsultansi dari pegawai JPAM dapat menenangkan mereka.

Setidaknya mereka memahami erti dan perasaan ketika menaiki bot di laut. Bukan sekadar hanya menonton di kaca TV atau sekadar mendengar orang dewasa bercerita tentangnya. Kini mereka sendiri yang mengalami dan merasainya. Pengasimilisasian pengalaman ini pastinya akan dikenang sepanjang hayat mereka.

Dalam sesi yang pertama yang diadakan pada bulan Julai lepas, sebahagian daripada mereka kelihatan takut dan gemuruh bila di bawa ke air sekalipun ditemani oleh petugas yang terdiri daripada guru, pegawai JPAM dan PPM.

Menggambarkan bahawa mereka tidak pernah mempunyai pengalaman di air, sama ada di sungai ataupun laut. Seorang daripada mereka dikecualikan kerana "stress" sehingga meraung-raung seolah-olah sedang mengalami ketakutan yang amat dasyhat apabila di bawa ke air sekalipun hanya baru di gigi laut. Mungkin fobia daripada sejarah pengalaman lalu.


Di sesi ke dua ini, murid yang fobia tadi mula mendapat "feel" dan fobianya dapat dikurangkan. Malah kelihatan semakin yakin dan bersemangat. Baru dia faham bahawa selama ini air laut sebenar, rasanya masin. Selama ini kebanyakan mereka tidak tahu rasa sebenar air laut.

Manakala murid-murid lain menunjukkan keyakinan yang lebih baik. Yang lebih penting dalam aktiviti ini mereka dapat membuat pergerakan serentak antara pergerakan kaki dan tangan. Pergerakan sebegini amat mustahak untuk membina skil psikomotor pelajar.

Pelajar baru yang pertama kali di bawa ke air akan diberi latihan bagaimana menghilangkan perasaan "stress" kemudian diajar untuk mengimbangi anggota badan. Peringkat ini permudah cara daripada petugas amat penting untuk mengelakkan pelajar merasa berkeyakinan dan berprinsip "cuba jaya". Setelah perengganan anggota badan berjaya dikawal, barulah pelajar mula diajar bagaimana membina pergerakan seterusnya.

PPM; Pn Mahani sedang melayani salah seorang pelajar istimewa kami.

Bagi pelajar yang mengalami Sindrom Down, tumpuan yang lebih berat terpaksa diberikan kerana 2 pelajar yang mengikuti program ini dikenal pasti mengalami masalah ketahanan tekanan telinga.

Mereka tidak dibenarkan lagi untuk menyertai kumpulan pelajar lain membuat formasi dan pergerakan di air. Sebaliknya mereka hanya di bawa ke air dengan bantuan petugas tanpa jaket bagi memudahkan mengawal pergerakan mereka.

Aktiviti Pembentukan kreativiti yang juga akan membantu murid memperkayakan dan memperkuatkan motor halus mereka. Yang penting mereka menggunakan koordinasi psikomotor dan otak untuk membentuk objek dengan menggunakan pasir. Fokus yang tepat akan menghasilkan objek yang mereka ilhamkan.

Kebebasan yang diberi supaya mereka meneroka sendiri kreativiti semula jadi mereka yang sebelum ini terpendam untuk dieksploitasikan secara realistik dalam aktiviti sebegini.


Keberkesanan terapi kali ini.... Tuan Bukhari sendiri yang mencuba kepakarannya dalam hidroterapi kali ini. Menenangkan pelajar ini yang pada mulanya menjerit bila sesi terapi di air dimulakan. Akhirnya siap santai di air.

Saturday, July 26, 2008

GB & Krew PKBP


Pertama kali GB SKAL yang baru Y.Brs En. Azmi bin Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Kali ke-2 JK PKBP SKAL. Antara perbincangan lebih berkisar bagaimana untuk menceriakan lagi kelas PKBP yang diberi penjenamaan baru iaitu "Seri Mutiara". Penjenamaan ini selaras dengan saranan yang dibuat oleh Ketua Sektor Unit PS & PK JPNT yang baru iaitu Tuan Haji Ngah bin Bidin.
GB kelihatan bersemangat dan penuh kooperatif dalam memastikan kelas PKBP yang akan dikenali sebagai Kelas Seri Mutiara. Beberapa idea yang menarik telah diutarakan dalam mesyuarat tersebut.

Walaupun dengan fasiliti yang terhad, diharapkan kelas ini akan menampakkan progress yang lebih kondusif dan interaktif. Sekarang inipun fenomena itu mula terserlah setelah sistem LCD dipasang hujung minggu lepas. Kelas ini sedang menanti jawapan daripada pejabat ADUN Kota Putera untuk menerima derma TV 29" dan DVD sebagaimana yang dijanjikan secara lisan melalui Pegawai Khas YB. Surat telahpun dihantar ke Pejabat YB Tuan Haji Pehimi untuk pengesahan.

Staff Seri Mutiara terpaksa mengerahkan segala upaya yang ada bagi memastikan hasrat murni untuk menceriakan kelas ini akan dapat dilaksanakan dengan baik.

Tentunya Penyelia yang sedang bercuti bersalin akan terkejut melihat perubahan yang sedang berlaku apabila beliau kembali bertugas semula pada awal Ogos ini.

Tuesday, July 22, 2008

Lawatan ke PPPIL Tanjung Demong


Bulan ini Seri Mutiara memilih Pusat Pengeluaran dan Penyelidikan Ikan Laut di Tanjung Demong, Besut sebagai tempat untuk dilawati. Rombongan telah disambut oleh beberapa orang kakitangan PPPIL yang diketuai oleh En. Saiful Anuar, Penolong Pegawai Penyelidik di sini.
Di lawatan ini anak-anak Seri Mutiara dapat melihat sendiri proses pembenihan ikan hingga ke peringkat pembesaran.

En. Saiful sedang memberi penjelasan kepada rombongan Seri Mutiara tentang spesis ikan yang berada di dalam tangki ini menyebabkan anak-anak Seri Mutiara sedang memerhati ikan yang berada di dalamnya.

Dua anak Seri Mutiara ini sedang cuba membuat aksi seperti anak-anak ikan yang sedang dilihat mereka. Keletah mereka mengamit hilai tawa semasa lawatan ini.

Cikgu Daliya sedang menjelaskan kepada dua anak Seri Mutiara tentang benih ikan yang sedang dilihat. Ayie (yang tengah) asyik nak minta ikan untuk digoreng.



Beberapa spesis gamat juga turut ditunjukkan kepada anak-anak ini. Mungkin itulah kali pertama mereka menyentuh gamat yang asli.

Antara spesis kerapu yang berada di sini mencecah beratnya 180kg.

Sunday, July 20, 2008

P&P menggunakan internet

Krew Tenaga Pengajar PKBP SKAL mula mencuba kaedah pembelajaran berasaskan internet. Semua pelajar dibawa ke makmal komputer sekolah dengan dibantu oleh PPM untuk mengawasi pelajar agar tidak merosakkan peralatan ICT dalam makmal.
Setelah paparan di skrin LCD mula kelihatan, pelajar kelihatan begitu seronok untuk menerokai proses pembelajaran yang dipetik daripada internet. Sebelum ini mereka seakan layu apabila menjelang waktu tengahari, tanpa diduga berubah menjadi pelajar yang responsif.
Gelagat mereka yang responsif itu ada ketikanya membuatkan PPM terpaksa bekerja keras mengawal keadaan membantu 2 orang guru yang sedang melakukan proses pengajaran dan bimbingan.
Suasana di bilik makmal komputer yang dilengkapi dengan sistem penghawa dingin menjadikan suasana pengajaran dan pembelajaran bertambah kondusif berbanding di bilik darjah utama mereka.

Perkembangan ini menjadikan satu pembaharuan kepada pelajar apabila setiap hari merenget dan merayu kepada para guru agar belajar di makmal komputer.
Satu perkembangan yang positif apabila pelajar mutiara ini mula mencintai dunia ICT yang asing kepada mereka sebelum ini.
Terima kasih kepada Penyelia Makmal Komputer yang sudi memberi keizinan kelas Mutiara ini menjejak ke sana beberapa kali. Percayalah keselamatan alat-alat di sana pasti akan diutamakan bila kumpulan mutiara ini apabila berkerah ke sana. Mereka juga dibentuk untuk menghormati dan menyayangi kemudahan yang ada di sekolah.

Monday, July 7, 2008

Sinar Harian 7hb Julai 2008


Berita aktiviti kelas PKBP SK Alor Lintah telah tersiar di akhbar Sinar Harian di muka surat T8. Walaupun liputannya terhad tetapi cukup untuk menggambarkan program susunan PKBP SK Alor Lintah mula mendapat perhatian masyarakat.

Lawatan Pen. Pengarah

Puan Tan Gwek Eng, Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas JPNT dalam rangka lawatannya ke Besut telah sempat singgah seketika untuk menjengah Kelas PKBP SK Alor Lintah pada pagi ini. Diiringi oleh GPK 1 SKAL; Pn Hajah Khuzaimah bt Marzuki, Puan Tan dibawa melawat kelas PKBP SKAL yang baru setahun jagung beroperasi dengan serba kekurangan. Walaupun hanya seketika kerana beliau terpaksa menghadiri satu majlis lain, cukup bermakna kepada kami krew di PKBP apabila sesi perbincangan hari itu berjaya mencapai objektifnya.

Dikesempatan itu Puan Tan telah memberi peransang kepada warga PKBP SKAL untuk terus berdedikasi demi membitarakan kelas tersebut walaupun dengan fasiliti yang terhad. Beliau melahirkan rasa kagum dengan dedikasi dan komitmen yang ditunjukkan oleh warga PKBP SKAL dalam mengurus program dan aktiviti untuk kelas ini.

Dalam pada itu, rupanya ada sejarah yang tersirat antara SKAL dengan Puan Tan. Sebelum pulang, Puan Tan sempat memberitahu SU PKBP SKAL yang mengiringinya ke kereta, yang SKAL adalah sekolah pertama beliau ketika mula-mula menjadi guru iaitu dalam tahun 1977. Beliau sempat memberitahu kelas pertamanya ketika ditempatkan di sini kira-kira 31 tahun dahulu.

Kalau begitu bolehlah Puan Tan datang ke sini selalu. Di samping untuk mengembalikan nostalgia lama, dapat juga melihat perkembangan dan progress di Kelas PKBP ini. Sementara itu bolehlah selalu mengunjungi laman blog ini untuk mengetahui perkembangan semasa di sini.

Terima kasih kami warga PKBP dan pihak pentadbir SKAL di atas kunjungan Puan Tan tempohari.