Wednesday, July 30, 2008

Hidroterapi 2

Tuan Haji Ahmad Nadzir (Penyelia Unit Khas PPD BESUT) turut serta untuk bersama-sama meraikan anak-anak "Seri Mutiara" dari SK Alor Lintah, Besut dalam program hidroterapi di pantai kali kedua ini.
Puan Hajah Khuzaimah Marzuki (PK 1) SKAL sentiasa mengambil berat tentang pelajar di Kelas Seri Mutiara (SM). Beliau sentiasa menghantar para pelajar ini hingga ke bas sebelum bertolak ke destinasi aktiviti. Kali ini kami bergerak ke Pantai Bukit Keluang.

Semenjak semalam lagi anak-anak ini sibuk bertanya itu dan ini mengenai program yang akan mereka ikuti ini. Refleksi minat yang ditunjukkan mereka. Refleksi ini menggambarkan motivasi kami telah berjaya mencapai objektif.

Program-program luaran kami di sini adalah alat motivasi untuk mereka ke sekolah. Kami mahu menjadikan sekolah tempat yang paling mereka suka dan seronok. Kehadiran kelas ini sentiasa memuaskan kerana murid di kelas ini jarang ponteng kelas tanpa sebab seperti sakit atau masalah transportasi ibubapa dan penjaga.


Sementara menunggu isyarat lampu hijau membolehkan program dimulakan, diabadikan memori kali ini di depan menara JPA3 di Bukit Keluang yang akan menjadi lokasi tetap anak-anak ini setiap bulan selagi ianya diberi keizinan.

Bilangan anak-anak ini kian bertambah. Bilangan "life jacket" tetap statik. Itupun ihsan daripada JPA3. Tengoklah sendiri, ada yang badan hampir sama besar dengan "life jacket" yang dipakai. Hinggakan tak dapat nak melutut.

Apa nak buat. Kami gunakan apa yang ada. Pihak kami mengalu-alaukan ada pihak yang mahu menaja pakaian renang mereka. Pakaian yang sesuai untuk pergerakan di air.


Sesi warming up yang sungguh nyaman di tepi pantai bersebelahan bukit yang menghadap ke pulau. Para pelajar begitu seronok menuruti setiap formasi yang perlu mereka buat. Proses P&P yang berlaku secara informal ini sebenarnya cukup memberi impak yang baik dalam pengukuhan apa yang diajari secara konkrit. Suasana fenomena yang kondusif di sini telah memberi semacam ransangan untuk mereka menerokai pembelajaran secara kendiri.

Fisio yang sedang dilakukan oleh Miss Daliya.
Perkembangan pelajar ini antaranya telah memberikan kami kepuasan dan kegembiraan. Koordinasi krew kelas yang sentiasa perihatin dan tidak jemu untuk mencuba akhirnya, pelajar ini yang suatu ketika adalah pelajar pasif dan tidak banyak perkataan yang boleh disebut. Kini mula bertutur walaupun menggunakan dua suku kata secara pelat.
Sesi Crawling

Walaupun kelihatan mudah, bukan senang untuk sampai ke garisan penamat. Latihan begini akan membentuk mereka tabah menuju ke matlamat.


Latihan menjulur.

Aktiviti ini mula diperkenalkan dalam sesi ini dan akan menjadi aktiviti tetap dalam program hidroterapi akan datang. Aktiviti ini diharapkan dapat menguatkan motor kasar dan melatih pelajar fokus. Ianya juga akan membantu melatih koordinasi psikomotor dengan otak secara seimbang.

Latihan sebegini amat penting dan diperlukan bagi pelajar di sini. Kami bersedia untuk memastikan aktiviti ini dibuat dengan postur yang betul.

Ada kanak-kanak hari ini yang mendapat efeksi akibat tidak melakukan aktiviti ini semasa mereka bayi. Kerana ibubapa mereka teruja mahu melihat mereka cepat berdiri, bertatih dan berjalan.

Tanpa disedari ibubapa itu telah melangkau satu langkah perkembangan otak anak mereka yang akan memberi efeksi puluhan tahun akan datang.


Sesi santai sejenak bersama Cikgu Alias, Cikgu Fatah dan pegawai JPA3.


Dapat menaiki bot merupakan saat yang paling dinantikan dan disukai oleh pelajar. Walaupun ianya agak santai kepada mereka yang terbiasa dengan fenomena dan pengalaman ini, namun tidak kepada sebahagian besar pelajar di sini.

Peluang sebegini membuatkan mereka begitu teruja. Ada di antara mereka kelihatan gayat namun konsultansi dari pegawai JPAM dapat menenangkan mereka.

Setidaknya mereka memahami erti dan perasaan ketika menaiki bot di laut. Bukan sekadar hanya menonton di kaca TV atau sekadar mendengar orang dewasa bercerita tentangnya. Kini mereka sendiri yang mengalami dan merasainya. Pengasimilisasian pengalaman ini pastinya akan dikenang sepanjang hayat mereka.

Dalam sesi yang pertama yang diadakan pada bulan Julai lepas, sebahagian daripada mereka kelihatan takut dan gemuruh bila di bawa ke air sekalipun ditemani oleh petugas yang terdiri daripada guru, pegawai JPAM dan PPM.

Menggambarkan bahawa mereka tidak pernah mempunyai pengalaman di air, sama ada di sungai ataupun laut. Seorang daripada mereka dikecualikan kerana "stress" sehingga meraung-raung seolah-olah sedang mengalami ketakutan yang amat dasyhat apabila di bawa ke air sekalipun hanya baru di gigi laut. Mungkin fobia daripada sejarah pengalaman lalu.


Di sesi ke dua ini, murid yang fobia tadi mula mendapat "feel" dan fobianya dapat dikurangkan. Malah kelihatan semakin yakin dan bersemangat. Baru dia faham bahawa selama ini air laut sebenar, rasanya masin. Selama ini kebanyakan mereka tidak tahu rasa sebenar air laut.

Manakala murid-murid lain menunjukkan keyakinan yang lebih baik. Yang lebih penting dalam aktiviti ini mereka dapat membuat pergerakan serentak antara pergerakan kaki dan tangan. Pergerakan sebegini amat mustahak untuk membina skil psikomotor pelajar.

Pelajar baru yang pertama kali di bawa ke air akan diberi latihan bagaimana menghilangkan perasaan "stress" kemudian diajar untuk mengimbangi anggota badan. Peringkat ini permudah cara daripada petugas amat penting untuk mengelakkan pelajar merasa berkeyakinan dan berprinsip "cuba jaya". Setelah perengganan anggota badan berjaya dikawal, barulah pelajar mula diajar bagaimana membina pergerakan seterusnya.

PPM; Pn Mahani sedang melayani salah seorang pelajar istimewa kami.

Bagi pelajar yang mengalami Sindrom Down, tumpuan yang lebih berat terpaksa diberikan kerana 2 pelajar yang mengikuti program ini dikenal pasti mengalami masalah ketahanan tekanan telinga.

Mereka tidak dibenarkan lagi untuk menyertai kumpulan pelajar lain membuat formasi dan pergerakan di air. Sebaliknya mereka hanya di bawa ke air dengan bantuan petugas tanpa jaket bagi memudahkan mengawal pergerakan mereka.

Aktiviti Pembentukan kreativiti yang juga akan membantu murid memperkayakan dan memperkuatkan motor halus mereka. Yang penting mereka menggunakan koordinasi psikomotor dan otak untuk membentuk objek dengan menggunakan pasir. Fokus yang tepat akan menghasilkan objek yang mereka ilhamkan.

Kebebasan yang diberi supaya mereka meneroka sendiri kreativiti semula jadi mereka yang sebelum ini terpendam untuk dieksploitasikan secara realistik dalam aktiviti sebegini.


Keberkesanan terapi kali ini.... Tuan Bukhari sendiri yang mencuba kepakarannya dalam hidroterapi kali ini. Menenangkan pelajar ini yang pada mulanya menjerit bila sesi terapi di air dimulakan. Akhirnya siap santai di air.

No comments: