Monday, July 7, 2008

Lawatan Pen. Pengarah

Puan Tan Gwek Eng, Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas JPNT dalam rangka lawatannya ke Besut telah sempat singgah seketika untuk menjengah Kelas PKBP SK Alor Lintah pada pagi ini. Diiringi oleh GPK 1 SKAL; Pn Hajah Khuzaimah bt Marzuki, Puan Tan dibawa melawat kelas PKBP SKAL yang baru setahun jagung beroperasi dengan serba kekurangan. Walaupun hanya seketika kerana beliau terpaksa menghadiri satu majlis lain, cukup bermakna kepada kami krew di PKBP apabila sesi perbincangan hari itu berjaya mencapai objektifnya.

Dikesempatan itu Puan Tan telah memberi peransang kepada warga PKBP SKAL untuk terus berdedikasi demi membitarakan kelas tersebut walaupun dengan fasiliti yang terhad. Beliau melahirkan rasa kagum dengan dedikasi dan komitmen yang ditunjukkan oleh warga PKBP SKAL dalam mengurus program dan aktiviti untuk kelas ini.

Dalam pada itu, rupanya ada sejarah yang tersirat antara SKAL dengan Puan Tan. Sebelum pulang, Puan Tan sempat memberitahu SU PKBP SKAL yang mengiringinya ke kereta, yang SKAL adalah sekolah pertama beliau ketika mula-mula menjadi guru iaitu dalam tahun 1977. Beliau sempat memberitahu kelas pertamanya ketika ditempatkan di sini kira-kira 31 tahun dahulu.

Kalau begitu bolehlah Puan Tan datang ke sini selalu. Di samping untuk mengembalikan nostalgia lama, dapat juga melihat perkembangan dan progress di Kelas PKBP ini. Sementara itu bolehlah selalu mengunjungi laman blog ini untuk mengetahui perkembangan semasa di sini.

Terima kasih kami warga PKBP dan pihak pentadbir SKAL di atas kunjungan Puan Tan tempohari.

No comments: