Sunday, August 31, 2008

Kolaborasi Hidroterapi 3

Lanjutan daripada tersiarnya program hidroterapi yang dirintis oleh SK Alor Lintah tersiar di akhbar Sinar Harian, terdapat banyak permintaan daripada sekolah-sekolah lain untuk menyertainya.

Sebagai memenuhi permintaan daripada sekolah lain, PKBP SKAL buat pertama kalinya mula menganjur program ini bersama dengan 6 buah sekolah lain iaitu; SK Alor Peroi, SK Alor Keladi, SK Gong Bayor, SK Pusat Jerteh, SK Padang Luas dan SK Kuala Besut. Pihak kami tidak berupaya untuk menerima lebih ramai peserta kerana kekurangan peralatan utama iaitu "Life Jacket".


Seramai 30 orang murid PKBP bersama 18 orang guru dan pembantu pengurusan murid (PPM) dari 7 buah sekolah telah berhimpun di Pantai Bukit Keluang, Besut dengan kerjasana daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang menghantar 5 orang pegawai untuk memulakan lembaran sejarah baru program PKBP di Daerah Besut.
Jumlah fasilitator kesemuanya berjumlah 25 orang yang terdiri daripada kakitangan PKBP sekolah yang terlibat, JPAM dan sukarelawan.
Sebahagian murid, guru, PPM, sukarelawan dan anggota JPAM yang sempat bergambar bersama-sama di lokasi program.
Program kali ini meliputi 3 sesi:
  1. Latihan Terapi di air
  2. Latihan menjulur
  3. Latihan membina kreativiti menggunakan pasir tanpa alatan

Kebanyakan murid dari SK Alor Lintah yang bersama dalam program ini berpakaian serba hitam dan kelabu sudah tidak sabar-sabar lagi untuk memulakan aktiviti pada pagi ini dengan cuaca redup dan air laut yang tenang. Seperti kelaziman, sebelum turun ke laut, sesi memanaskan badan perlu dilakukan terlebih dahulu untuk merenggangkan otot-otot dan untuk mengelakkan kerenjangan.
Sebaik sahaja sesi memanaskan badan selesai, semua murid dan guru mengikut sekolah masing-masing diberi penerangan berkaitan cara dan bagaimana memulakan sesi peringkat 1. Penerangan dilakukan oleh Cikgu En. Che Alias Che Yusoff selaku Koordinator Program ini.
Demonstrasi dilakukan untuk memberikan kefahaman dan gambaran kepada guru, PPM dan juga murid dari sekolah lain yang baru pertama kali menyertai program ini. Demonstrasi dibantu oleh Cik Daliya; Sukarelawati SK Alor Lintah yang kali ke 3 menyertai program ini bersama SKAL.
Selesai penerangan, semua fasilitator akan menemani murid untuk memulakan sesi di air. Bagi murid yang baru pertama kali bertemu air laut akan mengalami sedikit gangguan emosi dan keyakinan diri. Situasi ini adalah biasa dan kemungkinan gangguan seperti ini disebabkan oleh masalah fobia pengalaman lalu. Untuk menenangkan mereka peranan fasilitator amat penting supaya murid berkenaan tidak mengalami stress yang berlebihan.
Cikgu Che Alias sedang mententeramkan salah seorang pelajar yang baru menyertai sesi ini yang pada mulanya stress dan gementar ketika di bawa ke air.
Suasana di air kelihatan ceria sekali apabila semua fasilitator mengambil peranan untuk menjayakan sesi ini. Walaupun kebanyakkan mereka pertama kali melakukan tugasan ini, namun komitmen yang ditunjukkan adalah membanggakan apabila murid-murid memberi responsif yang positif.
Pengalaman begini sememangnya mengujakan. Bukan mudah memperolehi pengalaman begini tanpa usaha yang berinovasi untuk menterjemahkan kepada perlaksanaan yang realiti. Sokongan daripada semua pihak khasnya daripada Unit Pendidikan Khas Pejabat Pelajaran Daerah Besut haruslah dipuji. Kerjasama dan iltizam yang ditunjukkan pasti akan membitarakan program-program khas yang akan membuka minda masyarakat terhadap kepentingan PKBP dalam arus pendidikan bertaraf global.
Cetusan program seperti ini yang tidak diberi pertimbangan untuk dilaksanakan selama ini telah membuka ruang kepada pilihan corak pembelajaran bentuk baru bagi kelas yang kurang diberi perhatian oleh warga pendidikan dan masyarakat sebelum ini. Hanya Mutakhir ini kelas PKBP mula mendapat tempat dan menonjolkan warga mereka sebagai bukan lagi golongan kelas ketiga dalam komuniti di sekolah.
Penyelia PKBP SKAL ; Pn. Hajah Najmiah Ramli turut teringin turun ke laut bersama pelajar.


LATIHAN MEMBINA KREATIVITI TANPA ALATAN



Dalam sesi latihan membina kreativiti menggunakan pasir tanpa alatan, pelajar akan berada dalam satu pasukan yang terdiri daripada 4 orang yang bukan dari rakan sekolah yang sama. Mereka diberi kebebasan untuk membina objek kegemaran mereka dengan menggunakan pasir. Untuk menbentuknya pelajar terpaksa menggunakan tangan.
Matlamatnya supaya pelajar meningkatkan motor halus masing-masing untuk mengembeling idea yang dijana secara spontan yang mereka ilhamkan sendiri tanpa bantuan daripada guru. Apa yang ingin dilihat dalam sesi latihan ini ialah melatih pelajar membina kreativiti dan sikap menghormati dan menerima pandangan rakan dalam kumpulan. Asas yang mahu dibina ialah keyakinan dalam diri pelajar itu sendiri.
Proses interaksi di kalangan pelajar bermula tanpa diminta. Gemblengan aspek kerjasama akan dapat dibentuk secara semula jadi tanpa perlu mereka menerima arahan daripada guru.
Guru atau fasilitator hanya memerhati dan sebagai tempat murid merujuk jika timbul kekeliruan.
Siapa sangka kreativiti seumpama ini dapat dihasilkan.

LATIHAN MENJULUR
Dalam latihan menjulur, apa yang penting adalah semangat untuk menuju ke matlamat. Ketabahan dan kesungguhan dapat dipupuk dari latihan seperti ini. Proses menjulur juga adalah satu daripada langkah dalam perkembangan kognitif kanak-kanak. Melalui proses ini dapat melengkapkan perkembangan kognitif pelajar.
Hasilnya tidak kelihatan secara spontan tetapi akan diterjemahkan dalam fenomena kehidupan yang abstrak. Dari aspek pelajar, kesannya dapat dilihat di bilik darjah apabila dilakukan aktiviti ini secara berterusan. Mereka akan mudah menerima arahan dan mampu menyudahkan tugasan yang diberikan berdasarkan abiliti dan keupayaan kognitif mereka.
Murid yang mengalami kesukaran melakukan aktiviti ini akan sentiasa dibantu oleh petugas




Selepas melepasi ketiga-tiga sesi aktiviti yang dilangsungkan, terserlah kegembiraan di wajah anak-anak istimewa ini tanpa menunjukkan keletihan. Semangat dan keceriaan yang ditunjukkan mereka merupakan pendorong kepada semua guru untuk terus beriltizam membitarakan lagi program seumpama ini agar lebih kerap dilaksanakan supaya impaknya dapat dimaksimakan. Keseronokan dalam pembelajaran diterjermahkan pada hari ini.
Mereka mendekati alam sekeliling yang indah dan nyaman di sini. Setidaknya rakan-rakan mereka di tempat lain pasti cemburu kerana tidak memiliki keindahan alam sekeliling seperti di sini. Ada bukit, laut, pantai, dan pulau. Kombinasi terapi minda yang cukup efisyen jika dimanipulasikan secara berinovasi.
Terima kasih kepada JPAM, PPD Besut, YPM, Guru, PPM, Sukarelawan dan semua pihak yang terlibat menjayakan program ini.

No comments: